Jumaat, 7 September 2012

AURAT SAYA MARUAH SAYA



Assalammualaikum W.B.T, salam Jumaat buat ukhwah fillah… Syukur Alhamdulillah, saya masih diberi  peluang oleh Allah S.W.T untuk  menghirup udara segar di pagi yang mulia dan indah ini dan kesempatan menyampaikan pesanan dan ilmu buat diri sendiri dan ukhti wa akhi semua.. 

Entri saya kali ini adalah tentang  AURAT… Masih ramai saudara seagama di luar sana masih belum memahami tentang AURAT dengan sebetulnya..Disini saya igin kongsikan ilmu tentang AURAT dengan lebih jelas dan terperinci yang saya sunting daripada:
 http://www.ustazshauqi.com dan http://www.pmm.edu.my..

.......................................................................................................................
Aurat menurut pengertian syarak ialah sesuatu yang wajib ditutup dan diharamkan melihatnya. Aurat di luar dan di dalam solat adalah sama.. Seseorang (wanita atau lelaki)  yang menutup aurat dengan sempurna dan mengikut syarak boleh menunaikan solat dengan pakaian tersebut kerana salah satu syarat sah solat adalah menutup aurat. 

Aurat hendaklah ditutup ketika menunaikan solat walau berada jauh daripada pandangan mata manusia atau berada di luar penglihatan manusia walupun dalam keadaan yang gelap. Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa batal solat orang yang tidak menutup aurat sedangkan dia mampu berbuat demikian.


Sempadan menutup aurat bagi lelaki ialah di antara pusat dan lutut. Manakala bagi perempuan ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Allah swt telah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, bermaksud:

 ”Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid...”.

Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa maksud daripada ayat ini ialah memakai pakaian (menutup aurat) ketika menunaikan solat. (Sila Rujuk Mughni Muhtaj dan al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh).


Al-Tirmidhi meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, katanya: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

 ”Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan kain yang menutup kepalanya”. Apabila kepala wajib ditutup, maka menutup seluruh badan adalah lebih utama.

Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah bertanya kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang wanita itu boleh menunaikan solat dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa memakai kain sarung?”. Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas yang boleh menutupi bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).





Terdapat beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi di samping menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan pergelangan tangan bagi perempuan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti yang berikut:-


1) Sekiranya pakaian yang dipakai itu  jarang atau nipis dan menampakkan warna kulit, maka ia dianggap tidak menutup aurat dan solat tidak sah. 
2) Wajib memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna kulit badan.

3) Pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh pemakainya.





Oleh yang demikian, hendaklah dipastikan bahawa pakaian yang dipakai untuk menutup aurat ketika menunaikan solat menepati kriteria yang ditetapkan oleh hukum syara’ agar solat yang ditunaikan itu menjadi sah dan diterima oleh Allah. Bagaimana pula hukumnya sekiranya aurat terdedah secara tiba-tiba ketika menunaikan solat akibat tiupan angin dan seumpamanya?


Para ulama’ ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa tidak batal solat apabila orang yang sedang menunaikan solat itu bersegera menutup kembali auratnya setelah menyedari ianya terdedah kerana tiupan angin. Akan tetapi sekiranya seseorang itu cuai dengan tidak mempedulikan auratnya yang terdedah atau ia mengambil masa yang agak lama untuk menutup auratnya kembali, maka solatnya itu dianggap batal dan tidak sah. Inilah pandangan yang telah dikemukakan oleh ulama’ aliran mazhab Syafe’i dan Hanbali. (Sila Rujuk al-Fiqh al-Islamiy Wa Adilatuh karangan Syeikh Dr Wahbah Zuhayli, jilid 1, halaman 582, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik, tahun 1989).



SEMPADAN AURAT DI LUAR SOLAT

Sempadan aurat seseorang itu apabila berada di hadapan orang yang bukan mahram ketika berada di luar solat adalah sama seperti keadaan auratnya ketika berada dalam solat. Oleh yang demikian seseorang yang mempraktikkan menutup aurat dalam kehidupan hariannya, sudah tentu akan memudahkannya untuk menunaikan solat walau di mana sahaja dia berada.


Kadang-kala berlaku kekeliruan terutamanya bagi wanita yang menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai ’telekung sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa ’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan alasan tidak dapat menutup aurat!. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat. Sebenarnya, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang’!. Pakaian terbaik seorang muslimah adalah  pakaian yang boleh digunakan terus untuk solat...


Akan tetapi sesuatu yang amat menyedihkan berlaku dalam masyarakat kita ialah apabila sebilangan umat Islam hanya menitik beratkan tentang menutup aurat di dalam solatnya sahaja, tetapi apabila selesai menunaikan solat, kewajipan menutup aurat terus dilupakan. Seolahnya seseorang itu hanya mengabdikan diri kepada Allah ketika menunaikan solat sahaja, sebaliknya ketika tidak menunaikan solat, dia terus melakukan penderhakaan kepada Allah. Fenomena ini merupakan sesuatu yang amat malang dan perlu diperbetulkan segera agar solat yang ditunaikan itu dapat membina keperibadian muslim yang unggul yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt.


Di samping itu, terdapat juga kekeliruan terutama dalam kalangan wanita Islam tentang konsep aurat di luar solat. Ada yang menyangka bahawa apabila sudah ditutup kepalanya dengan tudung, maka ia sudah menutup aurat. Ramai remaja perempuan pada hari ini yang semakin keliru dengan pelbagai fesyen tudung yang wujud, lalu menganggapnya ianya sudah cukup untuk menutup aurat.

Asalkan ada tudung di kepala, maka ia dikira menutup aurat! Kekeliruan yang timbul dalam isu tudung ini perlu di ambil perhatian oleh wanita muslimah yang prihatin terhadap hukum-hakam di dalam Islam. Janganlah kita hanya sekadar menjadi ’pak turut’ atau ’mak turut’ yang tidak tahu apakah yang kita lakukan itu benar atau salah. Akibatnya, ramai juga didapati wanita Islam yang memakai tudung tetapi tidak menutup aurat!


Al-Quran telah menjelaskan batas aurat bagi wanita muslimah. Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan pergelangan tangan); dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka....." [Surah An-Nur:31} Dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan melalui firmanNya yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]


Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya wanita Arab keluar rumah dengan memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian daripada kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka. Lalu ayat ini diturunkan dan memberi penjelasan kepada wanita muslimah agar menutup aurat mereka dengan sewajarnya. Ayat ini juga diturunkan oleh Allah sebagai penyelamat kepada wanita muslimah agar tidak diganggu oleh orang munafik dan fasik.





Ajaran Islam tidak pernah menyuruh wanita Islam bertudung semata-mata, tetapi dikehendaki menutup aurat. Sekiranya sekadar memakai tudung sahaja, ia tidak dinamakan menutup aurat mengikut kehendak Islam. Justeru, didapati bahawa wanita bertudung yang ditangkap ketika melakukan maksiat dan perkara-perkara tidak senonoh hampir kesemuanya atau majoritinya tidak menutup aurat walaupun mereka bertudung!


Masyarakat Islam wajar memahami perbezaan di antara tudung fesyen dan tudung yang menutup aurat. Boleh dikatakan amat ramai sekali wanita Islam pada hari ini memilih untuk memakai tudung fesyen daripada tudung untuk menutup aurat.Apa tidaknya, kelihatan amat ramai wanita yang memakai tudung, tetapi dalam masa yang sama mengenakan seluar ‘jeans’ yang ketat yang menonjolkan bentuk tubuh. Begitu juga mereka yang bertudung, tetapi juga dibaluti dengan baju ketat yang menonjolkan bentuk dada mereka dengan begitu jelas. Tidak kurang pula wanita yang bertudung ini memakai pakaian yang jarang menampakkan tubuh badan mereka. Kalau beginilah tudung yang dipakai, ia hanya boleh dianggap sebagai tudung fesyen, bukannya tudung yang menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam.


Kalaulah perkara seumpama ini terus berlaku, maka jelaslah bahawa kekeliruan dalam persoalan aurat dalam kalangan wanita pada hari ini telah membawa kepada penyakit barah yang semakin lama semakin parah. Sehubungan dengan itu, perlulah disuntik kesedaran dengan segera berasaskan ilmu agar umat Islam kembali menghayati peraturan dan sistem aurat yang wujud dalam syariat Islam yang bertujuan membawa kebaikan dan keharmonian hidup individu mahupun masyarakat.



AURAT MENGIKUT SITUASI:

Aurat lelaki:

a) Ketika solat – Antara pusat dan lutut.

b) Di hadapan wanita yang bukan mahram – Seluruh anggota badan

c) Di hadapan lelaki dan wanita yang mahramnya – Antara pusat dan lutut.

d) Ketika seorang diri di tempat sunyi – Qubul dan dubur sahaja.



Aurat wanita:

a) Ketika solat – Seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
b) Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah aklaknya – Aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
c) Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya – Batas auratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
d). Di hadapan lelaki bukan mahram dengannya ( ajnabi) – Auratnya adalah seluruh tubuh badan. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : ”Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (Hadith riwayat Al-Bazar dan At-Tirmizi).
Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ( bukan mahram). Perbezaan pendapat;

1. MAZHAB SYAFI’IE : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.
b) Qaul kedua : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).

2. MAZHAB HAMBALI : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.
b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

3. MAZHAB HANAFI : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.

4. MAZHAB MALIKI :
Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM DENGAN WANITA.
1. Suami
2. Bapa sendiri ( bapa kandung)
3. Bapa suami (bapa mertua)
4. Anak lelaki
5. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
6. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
8. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
9. Wanita Islam yang berakhlak.
10. Hamba lelaki yang mereka miliki
11. Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita.
12. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
13. Anak lelaki susuan.
14. Bapa susuan.
15. Saudara susuan.
16. Bapa saudara sususan, datruk saudara susuan hingga ke atas, dan anaksaudara susuan hingga ke bawah.
17. Menantu lelaki.
.............................................................................................................................

P/S: Semogailmu yang saya kongsikan ini bermanfaat... Aamiin...  :) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan