Assalammualaikum W.B.T, salam Jumaat buat ukhwah fillah… Syukur Alhamdulillah, saya masih diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk menghirup udara segar di pagi yang mulia dan indah ini dan kesempatan menyampaikan pesanan dan ilmu buat diri sendiri dan ukhti wa akhi semua..
Entri saya kali ini adalah tentang AURAT… Masih ramai saudara seagama di luar sana masih belum memahami tentang AURAT dengan sebetulnya..Disini saya igin kongsikan ilmu tentang AURAT dengan lebih jelas dan terperinci yang saya sunting daripada:
http://www.ustazshauqi.com dan
http://www.pmm.edu.my..
.......................................................................................................................
Aurat
menurut pengertian syarak ialah sesuatu yang wajib ditutup dan diharamkan
melihatnya. Aurat di luar dan
di dalam solat adalah sama.. Seseorang (wanita atau lelaki) yang menutup aurat dengan sempurna dan
mengikut syarak boleh menunaikan solat dengan pakaian tersebut kerana salah satu syarat sah solat adalah menutup aurat.
Aurat hendaklah
ditutup ketika menunaikan solat walau berada jauh daripada pandangan mata
manusia atau berada di luar penglihatan manusia walupun dalam keadaan yang gelap. Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa
batal solat orang yang tidak menutup aurat sedangkan dia mampu berbuat
demikian.
Sempadan menutup aurat bagi lelaki ialah di antara pusat dan
lutut. Manakala bagi perempuan ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali
muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Allah swt telah berfirman dalam
surah al-A’raf ayat 31, bermaksud:
”Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali
(memasuki) masjid...”.
Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa maksud daripada ayat ini
ialah memakai pakaian (menutup aurat) ketika menunaikan solat. (Sila Rujuk
Mughni Muhtaj dan al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh).
Al-Tirmidhi meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, katanya:
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
”Tidak diterima solat perempuan yang telah
baligh melainkan dengan kain yang menutup kepalanya”. Apabila kepala wajib
ditutup, maka menutup seluruh badan adalah lebih utama.
Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah bertanya
kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang wanita itu boleh menunaikan solat
dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa memakai kain sarung?”.
Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas yang boleh menutupi
bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).
Terdapat beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi di
samping menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup keseluruhan
tubuh badan kecuali muka dan pergelangan tangan bagi perempuan. Syarat-syarat
tersebut adalah seperti yang berikut:-
1) Sekiranya pakaian yang dipakai itu jarang atau nipis dan menampakkan
warna kulit, maka ia dianggap tidak menutup aurat dan solat tidak sah.
2) Wajib memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh
menutup warna kulit badan.
3) Pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh
menampakkan susuk tubuh pemakainya.
Oleh yang demikian, hendaklah dipastikan bahawa pakaian yang
dipakai untuk menutup aurat ketika menunaikan solat menepati kriteria yang
ditetapkan oleh hukum syara’ agar solat yang ditunaikan itu menjadi sah dan
diterima oleh Allah. Bagaimana pula hukumnya sekiranya aurat terdedah secara
tiba-tiba ketika menunaikan solat akibat tiupan angin dan seumpamanya?
Para ulama’ ketika membincangkan persoalan ini telah
menyatakan bahawa tidak batal solat apabila orang yang sedang menunaikan solat
itu bersegera menutup kembali auratnya setelah menyedari ianya terdedah kerana
tiupan angin. Akan tetapi sekiranya seseorang itu cuai dengan tidak
mempedulikan auratnya yang terdedah atau ia mengambil masa yang agak lama untuk
menutup auratnya kembali, maka solatnya itu dianggap batal dan tidak sah.
Inilah pandangan yang telah dikemukakan oleh ulama’ aliran mazhab Syafe’i dan
Hanbali. (Sila Rujuk al-Fiqh al-Islamiy Wa Adilatuh karangan Syeikh Dr Wahbah
Zuhayli, jilid 1, halaman 582, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik, tahun 1989).
SEMPADAN AURAT DI LUAR SOLAT
Sempadan aurat seseorang itu apabila berada di hadapan orang
yang bukan mahram ketika berada di luar solat adalah sama seperti keadaan
auratnya ketika berada dalam solat. Oleh yang demikian seseorang yang
mempraktikkan menutup aurat dalam kehidupan hariannya, sudah tentu akan
memudahkannya untuk menunaikan solat walau di mana sahaja dia berada.
Kadang-kala berlaku kekeliruan terutamanya bagi wanita yang
menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai ’telekung sembahyang’. Oleh
itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa ’telekung
sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan alasan tidak dapat
menutup aurat!. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat. Sebenarnya,
apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada
di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan
pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut
asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang’!. Pakaian terbaik seorang muslimah adalah pakaian yang boleh digunakan terus untuk solat...
Akan tetapi sesuatu yang amat menyedihkan berlaku dalam
masyarakat kita ialah apabila sebilangan umat Islam hanya menitik beratkan tentang menutup aurat di
dalam solatnya sahaja, tetapi apabila selesai menunaikan solat, kewajipan
menutup aurat terus dilupakan. Seolahnya seseorang itu hanya mengabdikan diri
kepada Allah ketika menunaikan solat sahaja, sebaliknya ketika tidak menunaikan
solat, dia terus melakukan penderhakaan kepada Allah. Fenomena ini merupakan sesuatu
yang amat malang dan perlu diperbetulkan segera agar solat yang ditunaikan itu
dapat membina keperibadian muslim yang unggul yang sentiasa mengharapkan
keredhaan Allah swt.
Di samping itu, terdapat juga kekeliruan terutama dalam
kalangan wanita Islam tentang konsep aurat di luar solat. Ada yang menyangka
bahawa apabila sudah ditutup kepalanya dengan tudung, maka ia sudah menutup
aurat. Ramai remaja perempuan pada hari ini yang semakin keliru dengan pelbagai
fesyen tudung yang wujud, lalu menganggapnya ianya sudah cukup untuk menutup
aurat.
Asalkan ada tudung di kepala, maka ia dikira menutup aurat! Kekeliruan
yang timbul dalam isu tudung ini perlu di ambil perhatian oleh wanita muslimah
yang prihatin terhadap hukum-hakam di dalam Islam. Janganlah kita hanya sekadar
menjadi ’pak turut’ atau ’mak turut’ yang tidak tahu apakah yang kita lakukan
itu benar atau salah. Akibatnya, ramai juga didapati wanita Islam yang memakai
tudung tetapi tidak menutup aurat!
Al-Quran telah menjelaskan batas aurat bagi wanita muslimah.
Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya (muka dan pergelangan tangan); dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka....."
[Surah An-Nur:31} Dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan melalui firmanNya
yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak
perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan
pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang
demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik)
maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]
Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya wanita Arab keluar
rumah dengan memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian
daripada kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka. Lalu ayat ini
diturunkan dan memberi penjelasan kepada wanita muslimah agar menutup aurat
mereka dengan sewajarnya. Ayat ini juga diturunkan oleh Allah sebagai
penyelamat kepada wanita muslimah agar tidak diganggu oleh orang munafik dan
fasik.
Ajaran Islam tidak pernah menyuruh wanita Islam bertudung
semata-mata, tetapi dikehendaki menutup aurat. Sekiranya sekadar memakai tudung
sahaja, ia tidak dinamakan menutup aurat mengikut kehendak Islam. Justeru,
didapati bahawa wanita bertudung yang ditangkap ketika melakukan maksiat dan
perkara-perkara tidak senonoh hampir kesemuanya atau majoritinya tidak menutup
aurat walaupun mereka bertudung!
Masyarakat Islam wajar memahami perbezaan di antara tudung
fesyen dan tudung yang menutup aurat. Boleh dikatakan amat ramai sekali wanita
Islam pada hari ini memilih untuk memakai tudung fesyen daripada tudung untuk
menutup aurat.Apa tidaknya, kelihatan amat ramai wanita yang memakai tudung,
tetapi dalam masa yang sama mengenakan seluar ‘jeans’ yang ketat yang
menonjolkan bentuk tubuh. Begitu juga mereka yang bertudung, tetapi juga
dibaluti dengan baju ketat yang menonjolkan bentuk dada mereka dengan begitu
jelas. Tidak kurang pula wanita yang bertudung ini memakai pakaian yang jarang
menampakkan tubuh badan mereka. Kalau beginilah tudung yang dipakai, ia hanya
boleh dianggap sebagai tudung fesyen, bukannya tudung yang menutup aurat
sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam.
Kalaulah perkara seumpama ini terus berlaku, maka jelaslah
bahawa kekeliruan dalam persoalan aurat dalam kalangan wanita pada hari ini
telah membawa kepada penyakit barah yang semakin lama semakin parah. Sehubungan
dengan itu, perlulah disuntik kesedaran dengan segera berasaskan ilmu agar umat
Islam kembali menghayati peraturan dan sistem aurat yang wujud dalam syariat
Islam yang bertujuan membawa kebaikan dan keharmonian hidup individu mahupun
masyarakat.
AURAT MENGIKUT SITUASI:
Aurat lelaki:
a) Ketika solat – Antara pusat dan lutut.
b) Di hadapan wanita yang bukan mahram – Seluruh anggota
badan
c) Di hadapan lelaki dan wanita yang mahramnya – Antara
pusat dan lutut.
d) Ketika seorang diri di tempat sunyi – Qubul dan dubur
sahaja.
Aurat wanita:
a) Ketika solat – Seluruh tubuh kecuali muka dan tapak
tangan.
b) Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah aklaknya –
Aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja
iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua
tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
c) Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau
di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya – Batas auratnya adalah antara
pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi
akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu
menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak
menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya.
Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
d). Di hadapan lelaki bukan mahram dengannya ( ajnabi) – Auratnya
adalah seluruh tubuh badan. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua
tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini
berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : ”Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (Hadith riwayat Al-Bazar
dan At-Tirmizi).
Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita
merdeka di hadapan lelaki ajnabi ( bukan mahram). Perbezaan pendapat;
1. MAZHAB SYAFI’IE : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki
ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling
soheh dalam Mazhab Syaf’ie.
b) Qaul kedua : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki
ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun,
jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita
itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah
iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh
mendatangkan nafsu syahwat).
2. MAZHAB HAMBALI : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Semua anggota wanita adalah aurat tanpa
kecuali kepada lelaki ajnabi.
b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki
ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika
mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
3. MAZHAB HANAFI : ada 2 qaul ;
a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki
adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun,
jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi
(bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan
tangan dan dua tapak kaki.
4. MAZHAB MALIKI :
Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh
kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh
mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM DENGAN WANITA.
1. Suami
2. Bapa sendiri ( bapa kandung)
3. Bapa suami (bapa mertua)
4. Anak lelaki
5. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain
bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau
meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain
yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
6. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu
sahaja atau sebapa sahaja).
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
8. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
9. Wanita Islam yang berakhlak.
10. Hamba lelaki yang mereka miliki
11. Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat
kepada wanita.
12. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti
tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
13. Anak lelaki susuan.
14. Bapa susuan.
15. Saudara susuan.
16. Bapa saudara sususan, datruk saudara susuan hingga ke
atas, dan anaksaudara susuan hingga ke bawah.
17. Menantu lelaki.
.............................................................................................................................
P/S: Semogailmu yang saya kongsikan ini bermanfaat... Aamiin... :)